Putrajaya, Sabah Adakan Rundingan Teknikal Rasmi Isnin Ini

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan teknikal rasmi berkaitan tuntutan Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah pada Isnin ini di Kota Kinabalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, mesyuarat itu akan melibatkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong sebagai langkah menyemak serta menyelesaikan isu teknikal yang masih tertangguh dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar menjelaskan bahawa keputusan itu telah dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas beberapa siri perbincangan sebelum ini.

Berucap pada Program Temu Anwar Harapan Urang Muda Sabah di ITCC, Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah memfailkan rayuan terhadap hak 40 peratus itu seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, beliau menyifatkan kritikan tersebut sebagai cubaan mengalihkan fakta dan mempolitikkan isu yang sudah lama tidak diselesaikan.

“Kita tidak rayu kerana 40 peratus itu hak Sabah. Apa lagi yang mahu dipolitikkan? Nak pilihan raya, silakan. Tapi jangan pusing fakta,” katanya.

Program itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar turut menjelaskan bahawa rayuan kerajaan hanya tertumpu pada aspek alasan penghakiman, bukan pada hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil tersebut.

Katanya, kerajaan perlu memperbetulkan bahagian penghakiman yang menyatakan pentadbiran sejak 1974 melanggar Perlembagaan, kerana ia boleh dianggap menghina kepimpinan terdahulu.

“Saya tak mahu jadi Perdana Menteri yang menghina Perdana Menteri dahulu. Sebab itu kita rayu hanya untuk betulkan bahagian itu.”

Beliau menekankan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu fiskal Sabah secara adil dan teratur, tanpa menjadikannya senjata politik yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

“Fokus kita ialah selesaikan hak Sabah dengan tertib dan adil,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles