Putra Tempelak Tawaran BN, PH Berhubung Tiga TPM

KUALA LUMPUR: Membazir wang rakyat, itu respon Parti Putra terhadap tawaran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkenaan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Sabah dan Sarawak sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November ini.

Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, ini bermakna kerajaan yang dibentuk pada 20 November ini sama ada BN atau PH akan mempunyai tiga TPM iaitu masing-masing satu dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Bagi meraih sokongan rakyat Sabah dan Sarawak, BN dan PH pakat berlumba mencadangkan dalam manifesto masing-masing jawatan TPM. Ini boleh dicatatkan dalam Guinness World Records.

“Selepas ini juga Polis Diraja Malaysia perlu menambah kereta peronda, anggota pengiring bermotosikal dan pengawal peribadi untuk keperluan tiga TPM.

“Selain itu, setiap TPM boleh melantik pegawai khas seramai mungkin bagi memastikan wang rakyat lebih banyak digunakan untuk perkara tidak berfaedah dan membazir ini,” katanya di sini hari ini.

Isu jawatan Timbalan Perdana Menteri dilihat hangat dalam pilihan raya kali ini apabila kedua-dua gabungan BN dan PH menjanjikan lebih dari seorang lantikan.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sabah bakal mempunyai TPM pertama sekiranya BN menawan Putrajaya pada PRU-15 ini.

Begitu juga BN mencadangkan TPM turut dilantik dari Sarawak dan Semenanjung agar jawatan kanan itu diisi oleh tiga wakil dari setiap wilayah.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menawarkan jawatan dua TPM untuk Sabah dan Sarawak sekiranya parti itu memerintah.

Mengulas lanjut, Ibrahim mendakwa tidak ada gunanya melantik ramai TPM jika rakyat masih dibelenggu dengan pelbagai masalab seperti kos sara hidup yang tinggi dan hutang negara meningkat.

“Malah, kos belanja untuk tiga TPM boleh menampung kira-kira 500 keluarga miskin tegar setiap bulan.

“Sebenarnya jawatan ini tidak diperlukan. Tidak ada kuasa eksekutif pun kalau dilantik. Cukuplah dengan jumlah menteri sedia ada dan mereka boleh menjalankan tugas ketika perdana menteri bercuti atau keluar negara.

“Sebelum Dewan Rakyat dibubarkan 10 Oktober lalu pun hampir satu tahun negara tidak ada TPM, tidak ada seorang pun rakyat Malaysia meninggal dunia tanpa pelantikan TPM,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles