BATU PAHAT: Ada agenda tersembunyi dalam kalangan pimpinan Perikatan Nasional (PN), PKR dan Pejuang yang dilihat sangat ‘bersungguh-sungguh’ hendak menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali turut menggambarkan ketiga-tiga lawan BN itu seolah-olah diserang histeria apabila cuba memburukkan BN dalam kalangan pengundi.
Ibrahim mendakwa sama ada PN, PKR dan Pejuang mengambil kesempatan ke atas PRN Johor ini untuk mendapatkan kuasa dan sikap rakus seperti itu hanya akan menyebabkan rakyat negeri ini terus berdepan dengan masalah.
“Sebenarnya kalau rakyat sedar mereka itulah pencetus masalah kepada negara. Mereka telah menikmati kemewahan dengan kuasa dan kekayaan sebelum ini, mereka inilah yang melanjutkan permasalahan negara.
“Jadi, saya berharap pengundi di DUN Semerah ini menyedari dan menghukum mereka. Mereka bertanggungjawab kepada kegawatan politik negara pada hari ini,” katanya.
Putra yang turut bertanding dalam PRN Johor ini, bagaimanapun enggan terikut dengan stail PN, PKR dan Pejuang.
Meskipun ia hanyalah parti kerdil, namun Ibrahim menegaskan Putra tidak terlibat dengan segala permasalahan tersebut apatah lagi merebut kuasa.
“Putra ini parti baharu, kecil, siapa sangat Ibrahim Ali nak dibandingkan dengan mereka. Cuma, kelebihan kami, kita ini bersih, bermoral, tidak hipokrit dan tak munafik,” ujarnya.
Memandangkan Putra hanya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah sahaja, Ibrahim menggese pengundi setempat memberi peluang kepada parti itu demi membawa perubahan terhadap apa yang berlaku itu.