Pusat data 100 megawatt (MW) YTL Power International Bhd yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) di Kulai, Johor, dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2025 dan akan memberi impak kepada pendapatan kumpulan bermula FY27.
Kenanga Research berkata, setakat ini, pembeli untuk 80MW daripada kapasiti 100MW masih belum dimuktamadkan.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, pusat data AI akan memberi impak ketara ke atas pendapatan YTL Power pada FY27, dengan unjuran keuntungan bersih sebanyak RM987.9 juta sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya pada kapasiti 100MW.
Selepas lawatan ke Taman Pusat Data YTL di Johor, firma penyelidikan itu mengemas kini andaiannya untuk segmen pusat data.
“Hasilnya, kami mengekalkan ramalan keuntungan bersih FY25, sambil meningkatkan anggaran pendapatan FY26 kami sebanyak 9%. Dalam angka ramalan, kami telah mengandaikan hanya 20MW untuk pusat data AI,” katanya dalam satu nota kajian.
Pusat data itu, yang mana YTL Power bekerjasama dengan Nvidia Corp, adalah fasa kedua pembangunan lima fasa, dengan keseluruhan projek dijalankan oleh YTL Data Center Sdn Bhd (YTL DC) dalam tempoh 10 tahun.
Kenanga Research berkata, 20MW pertama pusat data itu akan diambil YTL AI, entiti berasingan daripada YTL DC.
“Kapasiti ini dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan, manakala penghantaran bangunan untuk baki 80MW akan dihantar menjelang suku kedua 2025.
“YTL Communications dinamakan sebagai rakan kongsi awan pilihan, menurut laman web Nvidia,” katanya.
Firma penyelidikan itu menyukai YTL Power kerana kestabilan pendapatannya yang disokong oleh pelbagai aset terkawal di seluruh dunia.
Katanya, prospek pendapatan jangka pendek kumpulan yang kukuh bagi loji janakuasa PowerSeraya di Singapura yang disokong oleh inventori gas yang dikunci pada harga rendah dan potensi pertumbuhan jangka panjangnya didorong oleh pusat data dan usaha niaga perbankan digitalnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan “outperform” ke atas YTL Power, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM5 sesaham