Pulihkan Keyakinan Peniaga, Pelabur Asing Buatkan Anwar Jadi Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR: Meskipun pernah mempertimbangkan untuk tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, namun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau perlu memegang portfolio itu kerana percaya satu pendekatan perlu dilakukan untuk memulihkan keyakinan terhadap ekonomi, peniaga dan pelabur asing.

“Saya fikir pada peringkat permulaan ini biar saya teruskan,” kata Perdana Menteri dalam Pengumuman Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan, malam tadi.

Anwar menjelaskan Kementerian Kewangan beliau akan dibantu pasukan mantap terdiri daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, penjawat awam serta penasihat yang tidak membebankan kewangan kerajaan.

Katanya, urusan kerajaan di Kementerian Kewangan diterajuinya akan dibantu beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah dan diketuai Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican.

Untuk rekod pada 25 November lalu, Anwar dilaporkan berkata tidak akan mempertimbang untuk memegang portfolio Menteri Kewangan bagi barisan Kabinetnya, namun akan melihat segala kemungkinan sebelum membuat keputusan akhir mengenainya.

Ditanya penjimatan yang dapat dilakukan melalui saiz Kabinet yang kecil, Anwar berkata ia dapat dilakukan sekiranya pembaziran dapat dielak serta perbelanjaan sia-sia dikurangkan, dan ia akan dimulakan oleh Pejabat Perdana Menteri.

BBerkaitan

Latest articles