Pukul Anak Guna Kulit Durian, Bapa Tiri Dipenjara 5 Tahun, Ibu Didenda RM18,000

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun manakala isterinya dikenakan denda RM18,000 selepas didapati bersalah mendera anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun menggunakan kulit durian, dalam kejadian yang berlaku minggu lalu.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan hukuman terhadap Bunyamin Sukiman, 42, dan isterinya, Yorlini Abdullah Umar, 32, selepas pasangan itu mengaku bersalah mendera kanak-kanak berkenaan sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Menurut fakta kes, penderitaan mangsa terbongkar apabila dia tampil membuat pengakuan kepada guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) di sekolahnya, menceritakan dia dipukul, telinganya dipulas, dan ditumbuk oleh bapa tiri.

Lebih mengejutkan, dia turut mendedahkan bahawa tangannya dihempap dengan kulit durian, lalu direndam ke dalam air garam suam selepas cedera.

“Tangannya turut diikat dengan pita pelekat dan dibiarkan semalaman,” menurut fakta kes yang dibacakan di mahkamah.

“Insiden mengerikan itu berlaku di sebuah rumah di Jalan Ampang, sekitar pukul 6 petang pada 16 Julai lalu.

Hukuman penjara terhadap Bunyamin berkuat kuasa serta-merta bermula dari tarikh tangkap pada 18 Julai, manakala isterinya akan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dan khidmat masyarakat selama 12 bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur, memohon agar hukuman berat dikenakan memandangkan mangsa adalah seorang kanak-kanak yang sepatutnya menerima perlindungan daripada ibu bapanya sendiri.

“Perbuatan menjatuhkan kulit durian ke atas tangan anak kecil dan kemudian merendamnya dalam air garam suam adalah tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ini bukan disiplin, ini penyeksaan,” katanya.

Peguam Simret Singh yang mewakili pasangan itu merayu hukuman minimum atas alasan Yorlini tidak bekerja dan hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai penasihat jualan kereta, selain menyatakan pasangan tersebut telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis semasa siasatan.

“Kedua-duanya telah insaf dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut,” katanya.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles