KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mendakwa cadangan MCA untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) hanyalah taktik ugutan politik bagi mendapatkan lebih banyak keistimewaan dalam gabungan itu.
Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor berkata, realitinya MCA tidak memiliki kekuatan untuk bergerak sendiri dalam landskap politik masa kini kerana sejak awal penubuhan, parti itu bertahan melalui kekuatan perikatan dan sokongan gabungan.
Menurutnya, kedudukan MCA banyak bergantung kepada undi Melayu, termasuk kemenangan di Parlimen Ayer Hitam dan Tanjung Piai.
“Secara solo, mereka tidak mampu mempertahankan satu pun kerusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
ADUN Rengit itu menambah, sekiranya MCA serius mahu keluar BN, pilihan mereka hanya terhad kepada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), namun kedua-duanya bukan platform yang sesuai untuk parti tersebut.
Katanya, MCA tidak selesa dengan PAS yang menjadi teras PN, manakala PH pula sudah tentu sukar menerima mereka terutama dengan kehadiran DAP.
Beliau berpendapat, usul meninggalkan BN yang dibawa dalam AGM MCA adalah sekadar strategi untuk menekan UMNO dan BN menjelang rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Ini cuma ugutan supaya mereka diberi lebih banyak keutamaan. MCA sedang mencari jalan bermaruah untuk kekal dalam BN,” jelasnya.










