Puad Desak Rombakan Tanpa Kuota Parti, Ambil Keputusan PRN Sabah Sebagai Pandua

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan lalu wajar dijadikan penanda aras utama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melakukan rombakan Jemaah Menteri yang dinanti-nantikan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi.

Menurut Puad, rombakan Kabinet perlu memberi keutamaan kepada prestasi dan keupayaan menteri, bukannya terikat kepada kuota parti semata-mata, termasuk membabitkan wakil daripada Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan bekas editor Oriental Daily yang mendakwa sebahagian masyarakat Cina melihat keputusan PRN Sabah sebagai “pengajaran” kepada DAP.

“Perdana menteri perlu pilih menteri yang benar-benar berprestasi tinggi, ada idea dan mampu bekerja. Apa yang berlaku di Sabah tidak boleh dipandang ringan dan mesti dijadikan iktibar,” katanya dalam audio siar Omar Puad, malam tadi.

Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit menyifatkan isu rombakan Kabinet kini menjadi antiklimaks apabila beberapa jawatan menteri penting masih kosong sejak Mei lalu, susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, kekosongan jawatan Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberi gambaran seolah-olah portfolio berkenaan tidak penting, selain turut menjejaskan persepsi rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

“Jawatan ini amat kritikal, tetapi dibiarkan kosong terlalu lama. Dari sudut persepsi, ini tidak baik,” katanya sambil merujuk kekosongan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Bagaimanapun, Puad menegaskan beliau menghormati kuasa melantik menteri sebagai prerogatif Perdana Menteri.

Dalam masa sama, beliau berharap Barisan Nasional (BN) akan diberikan tambahan satu jawatan menteri dalam rombakan akan datang, selain mengekalkan tujuh portfolio sedia ada.

“BN telah menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan perpaduan. Prestasi BN di Sabah juga lebih baik berbanding PH dan DAP. Jadi, wajarlah satu kuota tambahan diberikan kepada BN,” katanya.

Puad turut menegaskan rombakan Kabinet seharusnya menjadi ‘game changer’ dengan menampilkan menteri berprestasi tinggi, tanpa mengira parti.

“Jika ada menteri yang gagal menunjukkan prestasi baik, gugurkan sahaja walau dari parti mana. Jika isu kuota timbul, lantik individu lain dari parti sama yang lebih layak,” katanya.

Sebelum ini, Anwar mendedahkan beliau sudah mempunyai senarai calon bagi rombakan Jemaah Menteri, namun masih meneliti secara mendalam dan tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan.

BBerkaitan

Latest articles