KUALA LUMPUR: Meskipun Tan Sri Azam Baki telah membuat pengisytiharan berhubung pemilikan saham yang mencetuskan polemik sebelum ini, isu tersebut nampaknya masih belum menemui titik noktah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi, berpandangan bahawa penjelasan semata-mata tidak mencukupi untuk meredakan persoalan yang terus berlegar dalam kalangan rakyat.
Puad menimbulkan persoalan sama ada pembelian saham yang nilainya melebihi RM100,000 itu telah melalui prosedur sewajarnya, termasuk mendapatkan kelulusan daripada Ketua Setiausaha Negara.
Menurutnya, walaupun pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, SPRM dan badan pemantau telah tampil memberi penerangan, reaksi netizen menunjukkan masih banyak tanda tanya yang belum terjawab.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah pegangan 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Puad mempersoalkan mengapa daripada pelbagai pilihan kaunter di Bursa Malaysia, saham dalam Velocity Capital yang didakwa sebagai syarikat pemberi pinjaman wang berlesen menjadi pilihan.
Beliau turut membangkitkan dakwaan berhubung kemungkinan wujud kaitan individu tertentu dengan syarikat terbabit, yang menurutnya wajar diperjelaskan bagi mengelakkan persepsi negatif.
Selain itu, Puad turut membangkitkan isu sama ada saham tersebut benar-benar dibeli menggunakan dana peribadi atau sekadar dipindahkan ke akaun Azam.
Beliau juga menyoal kemungkinan wujud urus niaga lain termasuk saham yang dicagarkan semula kepada syarikat berkenaan.
Bagi Puad, penjelasan secara umum tidak lagi memadai.
Katanya, rakyat mahukan jawapan yang lengkap dan telus supaya isu ini tidak terus menjadi bahan perdebatan serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi yang terlibat.










