Selepas PAS, Umno pula menyuarakan sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu telah dibincangkan pada dua minggu lalu di peringkat jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional.
“UMNO dan Pas sudah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional dua minggu lalu dan kita bersetuju untuk terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Kita juga akan terus menjadi anggota Perikatan Nasional malah untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti bersetuju untuk menamakan atau menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.
“Perkara ini akan dibawa ke dalam saluran parti masing-masing tetapi di peringkat jawatankuasa bersama Muafakat Nasional.
“Ia adalah perkara yang sudah pun dibincangkan bersama UMNO jadi pendirian Pas dan UMNO dalam soal ini adalah sama,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Taman Setapak Indah, hari ini.
Terdahulu PAS, menerusi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan partinya terhadap kepimpinan Muhyiddin dan gabungan Perikatan Nasional (PN).