PUTRAJAYA: Beberapa laporan media hari ini menyebut beberapa pegawai lantikan politik di kementerian bertindak mengosongkan bilik masing-masing bermula hari ini, dipercayai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin diadakan dalam tempoh terdekat.
Beberapa hari ini juga wujud spekulasi kononnya Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan tarikh pembubaran Parlimen .
Seoramg pegawai kepada seorang menteri memaklumkan, setakat ini beliau tidak menerima arahan untuk mengosongkan pejabat.
“Kita faham-faham sendiri. Esok (Khamis) saya kemas, insya-ALLAH,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Sementara itu, seorang pegawai menteri lain turut berkongsi di media sosial mengenai beberapa keping gambar pejabatnya yang dikosongkan hari ini.
“Kemas dulu. Kami sukarela (kosongkan pejabat),” katanya.
Pengosongan pejabat lantikan politik merupakan perkara biasa menjelang pilihan raya ataupun peralihan kerajaan.
Sebelum ini pembangkang menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen sebelum pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.