KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam waktu terdekat menerusi perjumpaan bersama antara Perdana Menteri dan lima pimpinan tertinggi UMNO.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menjelaskan, pertemuan itu mungkin diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober.
“Macam saya cakap sebelum ini, sebarang keputusan akan dibuat oleh Top Five UMNO jadi kita tunggu perjumpaan membabitkan pimpinan itu.
“Perjumpaan itu mungkin akan lebih awal daripada tarikh pembentangan bajet,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada masih ada peluang PRU15 diadakan pada tahun ini.
Lima pimpinan tertinggi UMNO itu merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Perdana Menteri sendiri.