Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada keperluan buat Pakatan Nasional (PN) menggunakan lambang baru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang kerana akan mengelirukan rakyat.
Ditambah dengan masa yang tidak mencukupi, ujarnya lagi, proses untuk menjelaskan penggunaan lambang baru akan mengambil masa yang lama.
“Cara mana hendak persembahkan kepada parti, sama ada hendak buat di peringkat Muafakat Nasional saja di Semenanjung atau PN didaftarkan secara beramai-ramai, tetapi pandangan saya perundingan dan keputusan mesti berasaskan kepentingan parti.
“Saya kurang setuju, hal ini kerana Umno parti yang besar, lama. Kita mesti jaga kepentingan parti elok-elok, buat rundingan yang betul. Apakah kita mempunyai masa untuk buat lambang baru dalam tempoh 5 bulan ini, apakah gambarnya?
“Jangan susahkan diri, nak perangkap diri, buat sesuatu yang boleh diterima semua pihak. Saya tidak tahulah apa simbol baru, bayangkan gambar pokok pisang, orang akan kata gila ke? Lima bulan hendak pergi seluruh negara, ini satu perkara yang perlu lihat betul-betul,” katanya memetik wawancaranya bersama Umno Online, malam tadi.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga berpendapatan PN hanya menjadi gabungan longgar dengan kesemua parti di bawahnya bersedia untuk digilap dan dijenamakan semula.
Mohamad, atau mesra dipanggil Tok Mat turut mengulangi gesaannya supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, mengambil kira konflik dalaman yang sedang melanda parti-parti pembangkang ketika ini.
Bersetuju dengan sokongan yang diterima Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam keadaan yang baik, namun beliau mengingatkan bahawa ia tidak akan kekal lama.
“PN merupakan kerajaan mempunyai majoriti tipis, kerajaan sebegini susah untuk bentangkan dasar di Parlimen kerana akan sentiasa dalam ugutan.
“Saya katakan Muhyiddin tidak ada banyak pilihan.”
“Pemerhatian saya, orang tengah kelam-kabut inilah masanya, jangan tunggu bila musuh sudah kuat.
“Masa musuh tengah lemah inilah masanya kita ambil kesempatan. Apabila mereka sudah kuat, akan jadi masalah buat kita,” katanya lagi.