KUALA LUMPUR: Gerakan Tanah Air (GTA) berharap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan mereka untuk menggunakan logo obor dengan jaluran bendera Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Kalau bertanding nanti, lambang inilah yang kita nak pakai,” kata Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada sidang media selepas mengemukakan permohonan GTA kepada RoS, hari ini.
Turut hadir Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mohsin Abdul Razak dan Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim.
Bercakap kepada media, Mukhriz memberitahu empat parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan permohonan kepada RoS untuk menubuhkan gabungan baharu parti politik khusus untuk menghadapi PRU-15.
“Jadi kita bukan setakat gerakan sahaja tetapi kita nak masuk bertanding (PRU-15) menggunakan logo yang sama,” katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, GTA bukan sahaja gerakan politik namun lebih kepada gerakan massa.
“Gerakan ini bergerak sebagai gerakan massa yang mewakili Melayu Bumiputera tapi kita mohon dengan RoS tadi sebagai satu gabungan politik yang nak menyertai PRU-15,” katanya.
GTA, menurut Mukhriz merupakan gabungan orang Melayu yang terdiri dari parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, golongan profesional, agamawan, akademik dan aktivis.
Ia berlandaskan kepada gerakan membersihkan bangsa Melayu dan negara dari pemimpin-pemimpin yang korup, menyalahgunakan kuasa, tidak berintegriti dan bermasalah moral.