BANGI: Berbaki empat hari tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), suara golongan muda kian jelas kedengaran yang mahukan sebuah kerajaan stabil dari segi politik, ekonomi dan kemudahan.
Bagi Maliq Mikhael, 28, yang akan mengundi kali kedua pada PRU15 ini berharap, kerajaan dapat menyediakan peluang pekerjaan yang luas untuk golongan muda.
“Sebagai anak muda apa yang saya harapkan sangat adalah peluang pekerjaan. Seperti kita tahu ekonomi negara tidak stabil…peluang pekerjaan yang terhad, jadi saya harap kerajaan yang akan datang ini seperti mana Barisan Nasional (BN) mampu membuka peluang pekerjaan yang banyak seperti dalam manifesto mereka baru-baru ini.
“Kemudahan lain seperti teknologi yang semakin ke hadapan, jadi semua ini perlu seiring dengan anak muda. Anak muda adalah generasi masa hadapan negara kita,” katanya ketika ditemui di sebuah taman rekreasi, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada meletakkan calon atau parti sebagai keutamaan, Malik berkata, dia mahu memilih berdasarkan portfolio calon berbanding parti.
Dia akui, penampilan calon yang dapat membuat keputusan terbaik antara faktor tarikan dimahukan oleh dirinya dan pengundi muda lain.
“Pada pandangan saya, sekarang ini kita perlu tengok adalah calon berbanding parti. Tapi saya harap parti dapat menampilkan calon yang berwibawa seperti calon-calon BN.
“Saya lihat mereka mempunyai ideologi yang berbeza, idea yang segar yang mampu mencorak masa hadapan yang sangat cerah,” tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Husaini Latif, 23, yang pertama kali layak mengundi itu pula mengakui amat teruja untuk memilih wakil rakyat pada PRU15 ini.
“Perasaan saya untuk kali pertama mengundi ini sangat teruja untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara.
“Jadi peluang ini memang ditunggu-tunggu oleh semua anak muda dan saya akui sangat teruja.
Husaini yang merupakan pelajar tahun akhir di sebuah insititusi pengajian swata (IPTS) itu, mengakui sering mengikuti perkembangan semasa politik negara.
Dia berharap, anak muda yang akan keluar mengundi dapat membuat pilihan yang tepat.
Katanya, kerajaan yang dipilih perlulah mengutamakan keperluan rakyat dan mendengar denyut nadi rakyat.
“Pendapat saya ialah saya nak kehidupan yang terjamin sebab sekarang ekonomi negara tak stabil dengan nak masuk tahun baru lagi…musim banjir kita perlukan bantuan, harga barang makin naik malah pekerjaan pun susah nak dapat.
“Saya mahu seperti kerajaan terdahulu seperti BN yang beri banyak bantuan…macam saya pelajar tahun akhir harapkan pekerjaan yang terjamin untuk masa depan saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, bagi Aswad Abdullah, 38, pula berkata dia mahukan kerajaan yang bakal dibentuk nanti dapat mengekalkan bantuan-bantuan seperti mana yang diberikan kerajaan terdahulu terutama untuk B40.
“Saya harapkan dapat banyak perubahan terutama dari segi ekonomi terutama golongan B40.
“Kerajaan yang sebelum ini kita tengok banyak bantuan yang diberikan seperti BKM, BRIM. Jadi saya harap bantuan seperti itu diteruskan lagi tambahan pula harga barang yang mahal, harga minyak meningkat, tetapi gaji masih ditempat yang sama.
“Jadi saya harap ekonomi B40 diutamakan,” katanya.
PRU15 kali ini menyaksikan kewujudan sejumlah 1.14 juta pengundi berusia 18 tahun yang pastinya memberi impak besar pada Pilihan Raya Umum kali ini.