PRU15: Dakwaan Bersatu Dapat 50 Kerusi Tak Betul, Belum Bincang Isu Kerusi

Pimpinan Umno dan PAS hari ini menafikan dakwaan bahawa pembahagian kerusi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN) telah dimuktamadkan.

Malah mereka juga menepis khabar angin bahawa Bersatu bakal mendapat 50 kerusi parlimen untuk ditandingi.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan penyebaran khabar angin itu berniat jahat terhadap PN.

“Ia hanyalah satu tindakan perang psikologi pihak-pihak tertentu yang mempunyai niat tidak baik bagi mencetuskan kesangsian di kalangan parti-parti dalam kerajaan dan pendokong-pendokong parti akar umbi.

“Mana mungkin senarai calon sudah disiapkan sedangkan perundingan mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti juga belum bermula,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Begitu juga menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan berkata belum ada sebarang rundingan berkenaan kerusi diadakan di antara parti-parti di bawah PN.

Dalam senarai kerusi yang didakwa itu, Bersatu dikatakan mendapat 50 kerusi parlimen.

Manakala Ahli Parlimen Kota Bahru, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) didakwa tidak lagi bertanding di kerusi parlimen, sebaliknya akan bertanding di kerusi DUN Tanjong Mas untuk membolehkan beliau dicalonkan sebagai menteri besar Kelantan.

Malah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa juga dilaporkan tidak lagi mempertahankan kerusinya sebaliknya diberikan kepada Dr Radzi Jidin, manakala beliau akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

BBerkaitan

Latest articles