KUALA LUMPUR: Setiap calon UMNO diingatkan tidak menggunakan kempen PRU15 sebagai medan pemilihan parti, tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sebaliknya, calon-calon UMNO hendaklah menggunakan tempoh yang masih ada dengan berkempen habis-habisan untuk memenangi kerusi yang ditandingi mereka.
Beliau berkata, Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu memutuskan bahawa pemilihan parti adalah dalam tempoh enam bulan selepas PRU15 diadakan.
“Kita belum tentukan bila pemilihan (parti itu), yang pasti tidak lewat daripada 19 Mei 2023. Oleh kerana itu, saya harap pihak-pihak ini (calon-calon) berhenti berkempen untuk pemilihan UMNO.
“(Yang penting) kita hendak menang pilihan raya (umum ini). Kita cuma ada lima hari saja lagi (tempoh berkempen). Lupakan perkara itu (pemilihan parti) buat sementara waktu, kemudianlah kita fikirkan mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas ramah mesra bersama masyarakat di Kampung Ayer Baloi, hari ini.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai terdapat calon UMNO yang seolah-olah menjadikan PRU15 sebagai medan kempen pemilihan parti.
Pada 29 Julai lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas PRU15 diadakan.
Ahmad, yang akan mempertahankan Parlimen Pontian bagi penggal keempat, menasihati calon-calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya mengadakan ‘pecutan’ pada hari-hari terakhir berkempen sebelum tengah malam Jumaat ini.
“Saya nak ingatkan semua (calon) tiada undi penentu. Kena anggap semuanya (tak kira kaum atau kategori) adalah undi penentu. Setiap undi penting,” katanya.