PRU15 boleh diadakan sebelum pertengahan bulan depan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: UMNO berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan sebelum pertengahan bulan hadapan iaitu sebelum musim tengkujuh.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bagaimanapun berkata parti itu menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU-15.

“UMNO menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menghormati titah tuanku, bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan media sejurus selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata berkaitan dengan PRU-15, dimaklumkan bahawa tarikh baru Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23-26 November 2022 akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Mesyuarat juga bersetuju agar tema utama manifesto bagi PRU-15 ialah “Kestabilan Dan Kemakmuran”. Tema seumpama ini telah digunakan sewaktu PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini. Ianya akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional katanya.

BBerkaitan

Latest articles