Barisan Nasional (BN) hari ini menegaskan kesemua parti-parti gabungannya akan bertanding di kesemua kerusi tradisi sama ada yang telah dimenanginya pada pilihan raya umum yang lalu dan beberapa siri pilihan raya kecil yang diadakan selepasnya.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa dalam satu ciapan di akaun Twitternya, hari ini.
Barisan Nasional (BN) kini bersama sebahagian dari Bersatu dan sekumpulan bekas pemimpin PKR untuk membentuk Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan persekutuan dan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Februari lalu.
Beberapa gesaan untuk kerajaan mengadakan pilihan raya umum ke-15 dalam kadar segera mula disuarakan sejak kebelakangan ini untuk menstabilkan situasi politik negara.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan antara yang menyuarakan cadangan berkenaan dengan mengambil sokongan majoriti yang diterima Muhyiddin pada ketika ini.
Isu pembahagian kerusi di antara parti-parti di bawah gabungan PH masih belum dibincang dan dimuktamadkan sehingga kini.
Dalam pada itu, perkembangan terbaru membabitkan Umno dan PAS dalam mendepani PRU15 ditunjukkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional, pada semalam.
Mohamad dan Annuar memuatnaik beberapa gambar berkenaan mesyuarat yang sama di Twitter dengan menggambarkan beberapa isu semasa yang perlu dibincangkan untuk mencari penyelesaian.