PRU15: Anwar Mahu Mencari Tempat Di Tambun Pula?

IPOH: Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan cadangan supaya beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden PKR itu memberitahu cadangan berkenaan telah diusulkan kepadanya namun keputusan belum lagi boleh diputuskan kerana fokus parti ketika ini adalah berkaitan jumlah kerusi dan jentera pilihan raya terlebih dahulu.

“Anda fikir macam mana? Kalau anda kata boleh, saya akan fikirkan. Ia satu cadangan yang sedang saya pertimbangkan. PKR Cabang Tambun ada usulkan, namun saya belum putuskan lagi. Kawan-kawan di Port Dickson pula merayu minta saya kekal di sana. Saya kena fikir dahulu,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, semalam.

Terdahulu, Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dilaporkan mahu memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 dan keputusan itu telah dipersetujui di peringkat akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang sebelum ini.

Menyentuh mengenai kerusi dan calon bagi PKR Perak untuk PRU15, Anwar berkata perkara itu akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden.

Beliau berkata mesyuarat pada hari ini bersetuju untuk melantik Ahli Parlimen Tanjung Malim yang juga Naib Presiden PKR Chang Lih Kang sebagai Pengerusi MPN Perak bagi penggal 2022 hingga 2025.

BBerkaitan

Latest articles