PRU15 Akan Saksikan Bersatu Kembali Jadi Kerajaan

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata partinya akan kembali menerajui kerajaan menerusi Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Dalam ucapan sempena ulang tahun keenam penubuhannya, Muhyiddin menggesa seluruh pimpinan dan ahli parti bersiap sedia dan menguatkan jentera.

“Sepertimana yang kita semua maklum, pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa. Justeru, saya menyeru kepada seluruh ahli parti, terutamanya jentera parti di semua peringkat, supaya sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya.

“Insya-Allah, berkat usaha dan doa saudara-saudari semua, dokongan rakyat dan izin Allah SWT, Bersatu akan kembali menerajui kerajaan menerusi Perikatan Nasional. Selamat Menyambut Ulang Tahun Bersatu Ke-6!” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Muhyiddin, walaupun Bersatu sebuah parti yang baharu namun telah berjaya memberikan sumbangan yang besar dalam pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat.

Parti itu katanya, telah berjuang melawan kleptokrasi, mewujudkan pemerintahan yang berintegriti dan bebas rasuah.

Bersatu juga telah melaksanakan pelbagai program prihatin rakyat yang menunjukkan parti itu berada di landasan perjuangan yang selari dengan matlamat penubuhannya.

Menurut beliau, kekuatan Bersatu akan terus terletak di tangan ahli-ahlinya.

Beliau berkata, sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan dan terus mendokong matlamat dan perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam perlembagaannya maka Bersatu akan terus melangkah gagah.

“Ini termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah, melaksanakan tadbir urus yang berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperjuangkan keadilan sosial, menghormati doktrin pengasingan kuasa termasuk kebebasan badan kehakiman, menegakkan Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan mendokong Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Munyiddin, ahli-ahli Bersatu mesti dikenali dengan prinsip-prinsip yang membezakan mereka dengan ahli parti yang lain.

Mereka juga mesti sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik dalam membentuk suatu budaya politik yang murni supaya Bersatu dihormati oleh rakyat.

“Ini penting supaya parti kita terus kekal bersatu, beramanah dan bermaruah selaras dengan cogan kata parti,” kata Muhyiddin.

BBerkaitan

Latest articles