KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata proses pengambilalihan MASwings Sdn Bhd (MASwings) dijangka selesai sekurang-kurangnya pada suku pertama tahun depan.
Beliau berkata, perkara itu sepatutnya diselesaikan bulan ini, namun juruaudit kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) belum memuktamadkan nilai pengambilalihan aset syarikat penerbangan tersebut.
“Kita (Kementerian Pengangkutan Sarawak) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada dasarnya sudah bersetuju, cuma kita belum boleh menandatangani perjanjian pengambilalihan.
“Ini kerana pihak ketiga iaitu juruaudit belum mencapai kata putus berkenaan nilai pengambilalihan aset MASwings.
“Kerajaan Sarawak ada nilainya sendiri dan mereka juga meletakkan nilai tertentu,” katanya di Kuching hari ini, lapor Berita Harian.
Baru-baru ini, Abang Johari mengumumkan apabila MASwings dimiliki Sarawak, ia tidak hanya akan menyediakan penerbangan antara wilayah Sarawak dan Sabah semata-mata.
Sebaliknya, MASwing akan turut menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa destinasi antaranya Korea, Jepun, Hong Kong, Bangkok di Thailand, Jakarta di Indonesia dan Frankfurt di Jerman.