Proklamasi Orang Melayu Dakwa Kerajaan Perpaduan Abai Hal Islam, Orang Melayu

KUALA LUMPUR: Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengabaikan masa depan orang Melayu dan Islam kini, dengan hanya menitik beratkan konsep kepelbagaian kaum.

“Orang-orang Melayu sukar lagi untuk berbicara dan membincangkan tentang penyatuan seterusnya menyelesaikan semua permasalahan bangsa Melayu.

“Bercakap mengenai ‘Melayu’ dianggap ‘rasis’ tetapi dalam masa yang sama hak orang-orang Melayu amat jelas termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Yang menghairankan kita tidak pernah menganjurkan unsur-unsur provokasi terhadap ‘3R’ tetapi Kerajaan Madani bersungguh-sungguh untuk menyekatkan segala pergerakan ataupun aktiviti Proklamasi Orang Melayu.

“Namun, hak kaum lain akan tetap dipelihara serta dihormati sepertimana yang terkandung dalam perlembagaan negara,” ujarnya memetik kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu Khairuddin ‘memanjangkan amanat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang mengingatkan semua pemimpin Proklamasi Orang Melayu untuk terus menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini tidak kira sama ada tersenarai bertanding ataupun tidak.

Khairuddin berkata pihaknya menerima pendirian kepimpinan PN walaupun sudah beberapa kali berunding mengenai kerusi untuk calon-calon Proklamasi Orang Melayu.

“Sudah sampai masanya bagi keseluruhan orang-orang Melayu bersatu hati dan rapatkan saf perjuangan kita untuk memerangi kerajaan Madani.

“Pada PRU yang lepas hakikatnya orang-orang Melayu sudah bersatu padu dan ‘malay votes bank’ sudah diberikan pada PN.

“Tanggungjawab keseluruhan orang Melayu harus menguatkan kedudukan PN untuk lawan secara habis-habisan dengan falsafah liberalisma Kerajaan Madani,” katanya.

Tambah Khairuddin, semua pemimpin Proklamasi Orang Melayu akan terus berjuang dan bergading bahu bersama jentera PN untuk mengukuhkan kedudukan parti itu bagi menawan enam negeri pada PRN nanti.

BBerkaitan

Latest articles