Proklamasi Darurat: PM Gesa Henti Tohmahan Terhadap Agong

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menasihatkan rakyat untuk menghentikan tohmahan yang tidak berasas terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung perkenan Proklamasi Darurat.

Beliau menegaskan darurat dilaksanakan kerajaan setelah mendapat perkenan baginda bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada pada tahap kritikal.

Menerusi Perutusan Khas PM petang tadi, Muhyiddin berkata Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada Kerajaan bagi mengurus pandemik itu dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Tindakan-tindakan serta merta sedang diambil oleh Kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa. Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

“Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara,” katanya.

Tegas Muhyiddin lagi, beliau sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksi kepada sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Sementara itu, saya menyeru rakan-rakan saya baik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles