More

    Projek Terowong Dasar Laut: Guan Eng Mengaku Tak Bersalah

    Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta suapan berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di negeri itu yang bernilai RM6.3 bilion.

    Beliau hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, Guan Eng meminta untuk dirinya dibicarakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Setiausaha Agung DAP itu meminta bayaran sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang diperolehinya daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, menerusi pengarah kanan eksekutifnya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

    Bayaran itu sebagai upah membantu syarikat berkenaan untuk mendapatkan kontrak projek terowong dasar laut itu dan pembinaan jalan-jalan utama.

    Guan Eng dituduh meminta suapan pada Mac 2011, di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City.

    Bekas menteri kewangan itu didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

    Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer manakala SPRM diwakili pasukan pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib, Nik Haslini Hashim dan Farah Yasmin Salleh.

    Hakim menetapkan ikat jamin berjumlah RM1 juta dengan dua orang penjamin, pasport antarabangsa dan pasport diplomatik Lim perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Lim diminta menjelaskan sekurang-kurangnya RM500,000 pada hari ini manakala bakinya perlu dibayar selewatan-lewatnya Isnin.

    Sebutan semula kes ditetapkan 9 September depan.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini