Projek Telekomunikasi Tanjung Asam Lonjak Kesambungan Komuniti B40 Di Teluk Kumbar

KUALA LUMPUR: Projek telekomunikasi yang dikendalikan oleh Konsortium Jaringan Selangor (KJS) di bawah program “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet” anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berjaya menyediakan akses internet dan liputan mudah alih 4G serta 5G di kawasan Tanjung Asam, Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, yang melawat tapak projek tersebut semalam, menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah penting dalam menangani jurang digital di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

“Projek ini adalah satu langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’. Menara ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2024. Mari bersama-sama meneruskan usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar, hijau, dan berdaya huni,” katanya dalam satu kenyataan.

YTL Communications dalam kenyataan berkata, menara komunikasi yang didirikan ini akan menyediakan liputan komunikasi di sepanjang laluan Tanjung Asam dan kawasan sekitar dalam radius 1 kilometer.

Projek ini disokong oleh kerjasama strategik antara KJS sebagai peneraju infrastruktur rangkaian dan YTL Communications (YES), penyedia internet berkelajuan tinggi serta liputan selular yang meluas di Malaysia.

Projek ini melibatkan pembinaan menara telekomunikasi setinggi 60 meter di Jalan Gertak Sanggul dalam tempoh empat minggu, memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk, termasuk komuniti B40 dan golongan nelayan.

KJS dan YTL Communications (YTLC) terus komited menyokong inisiatif MCMC untuk meningkatkan kesalinghubungan digital di seluruh negara. Komitmen ini terbukti apabila KJS telah berjaya menyiapkan kesemua 81 menara telekomunikasi di bawah Projek JENDELA Bahagian Pertama, manakala YTLC (Yes) telah menyiapkan 70% Projek JENDELA Bahagian Kedua dalam menyediakan ketersambungan internet 4G di kawasan pedalaman dan golongan B40. Baki 30% Projek JENDELA dijangka akan siap menjelang Disember 2024.

Dengan kepakaran selama 26 tahun, KJS menunjukkan keupayaan dalam menyiapkan infrastruktur rangkaian berkualiti dalam tempoh singkat meskipun berdepan cabaran bentuk muka bumi. YTLC (Yes) pula terus menjadi peneraju penyedia internet berkelajuan tinggi dan liputan terluas, menyokong usaha transformasi digital negara.

Projek ini dijangka memberi impak besar dalam meningkatkan kesalinghubungan digital, memperkasa komuniti B40 dan menyokong perkembangan sosioekonomi tempatan.

 

BBerkaitan

Latest articles