KOTA BELUD : Projek Politeknik Kota Belud yang terbengkalai sejak tahun 2018 kini mendapat nafas baharu apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan ia akan disiapkan sepenuhnya menjelang tahun 2031.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir, berkata pembangunan semula projek strategik itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi dan memacu agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sabah, khususnya di Wilayah Sabah Barat.
“Projek ini merupakan projek asal di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Rolling Plan Kedua Tahun 2017 (RMK-11, RP2 2017).
“Setelah melalui beberapa cabaran pelaksanaan, ia kini diteruskan semula dengan semangat baharu agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat, khususnya di kawasan Kota Belud dan sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perletakan Batu Asas Politeknik Kota Belud, di sini pada Isnin .
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Dr. Zambry berkata, politeknik tersebut bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi pemangkin ekonomi setempat yang bakal membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran belia, dan menyokong pertumbuhan industri baharu di kawasan tersebut.
“Politeknik Kota Belud akan menumpukan kepada tiga bidang strategik utama yang kritikal, berimpak tinggi dan bernilai tinggi bagi masa depan Sabah — selaras dengan agenda RMK-13, NIMP 2030 (New Industrial Master Plan 2030) dan NETR (New Energy Transition Roadmap),” jelasnya.
Tiga bidang teras yang akan ditawarkan adalah Teknologi Maklumat dengan Teras Kecerdasan Buatan (AI); Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy – RE) dan Teknologi Pertanian Pintar (Smart Agriculture Technology).
Sementara itu, Abdul Rahman menafikan dakwaan bahawa penyambungan semula projek politeknik di daerah itu mempunyai kaitan dengan musim Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang bakal tiba.
Menurut Abdul Rahman, projek yang dicetuskan pada tahun 2017 sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) bertujuan untuk memenuhi keperluan pendidikan tinggi di kawasan pantai barat Sabah, yang pada ketika itu tidak memiliki institusi seumpamanya.
“Projek ini bukan berkaitan dengan pilihan raya. Ia adalah hasil perancangan strategik bagi pembangunan pendidikan dan TVET di Sabah Barat. Matlamat kami adalah menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran untuk belia tempatan,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek itu dihentikan selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas pada 2018, dan kerajaan Warisan yang mengambil alih pada waktu itu tidak meneruskan atau mempertahankan projek berkenaan.
“Kini, projek ini disambung semula sebagai usaha berterusan untuk manfaat rakyat, dan bukan kerana sebarang kepentingan politik semasa,” tambah Abdul Rahman.










