Projek NIISe Perlu Lebih Bagus, Elak Kesilapan Terdahulu

KUALA LUMPUR: Bukan sekali dua kita mendengar kegagalan beberapa pihak yang dianugerahkan kontrak kerajaan namun akhirnya projek yang sepatutnya dilaksanakan itu terbengkalai atau mengalami kerugian.

Pastinya ini memberi kesan kepada kerajaan, bahkan lebih besar lagi kepada rakyat yang sepatutnya menerima manfaatnya.

Begitu juga dengan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), yang kewujudannya adalah untuk menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah berusia 20 tahun.

Projek NIISe dijangka akan memodenkan Jabatan Imigresen dengan pelaksanaan aplikasi digital terkini dan termaju dalam usaha menambah baik sistem imigresen serta memperkukuh keselamatan dan sekuriti di sempadan negara.

Ekonomi Malaysia telah berkembang pesat sejak beberapa dekad yang lalu seiring dengan kemajuan negara, dan sudah tentu ia ingin mempertingkatkan sempadan dan sistem kawalan imigresennya.

Sebelum ini Projek NIISe dianugerahkan kepada Prestariang Berhad, atau kini lebih dikenali sebagai Awanbiru Resources Berhad.

Bagaimanapun kontrak itu ditamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ia dianggap terlalu mahal iaitu melebihi RM3 bilion.

Iris Corp kemudiannya mengambil alih, namun atas keadaan syarikat yang melemah, kontraknya ditamatkan pada Ogos 2023.

Pada ketika itu jumlah kontrak dikurangkan kepada RM1.1 bilion merangkumi penyepaduan data daripada 13 modul sistem kawalan sempadan sedia ada melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.

Kontrak Projek NIISe pada kali ini sekali dibuka dan pada ketika ini sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek, dimana syarikat yang layak akan diumumkan tidak lama lagi.

Mereka ialah Theta Edge Berhad, Dagang Nexchange Berhad (DNeX) dan HeiTech Padu Berhad.

Untuk rekod Theta Edge sehingga kini masih belum memperoleh projek besar tetapi harga sahamnya telah meningkat sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun syarikat bermodal kecil itu pernah dikaitkan dengan kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit.

Setakat tahun ini, harga saham Theta Edge melonjak 75 peratus kepada RM1.20 dengan nilaian kumpulan itu pada RM141.6 juta.

Dipercayai lonjakan saham syarikat itu adalah kerana Lembaga Tabung Haji merupakan pemegang saham terbesarnya, dengan 27.28 peratus kepentingan.

Dalam pada itu, keuntungan bersih Theta Edge dicatatkan berjumlah RM9.58 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Namun ada pihak mempersoalkan adakah Theta Edge mempunyai kapasiti teknikal dan sumber kewangan yang diperlukan untuk melaksanakan projek NIISe ini.

Theta Edge baru-baru ini dianugerahkan kontrak RM673.8 juta dalam membangunkan teknologi IOT (internet of things) untuk perniagaan pintar. Bolehkah Theta Edge menerajui satu lagi projek mega dari segi sumber dan adakah ia memiliki keupayaan kewangan?

Sementara itu Dagang Nexchange Berhad (DNeX) yang juga sebuah syarikat bernilai RM1.09 bilion yang mendalami teknologi, IT dan syarikat tenaga turut merebimut pemilikan kontrak Projek NIISe.

Laporan The Edge Weekly menyatakan firma itu telah mengendalikan Tetingkap Tunggal Kebangsaan yang termasuk menyediakan perkhidmatan elektronik untuk kemudahan perdagangan.

Pada akhir Mac tahun ini, firma itu mempunyai aliran tunai RM342.2 juta.

Menariknya, pemegang saham kedua terbesar Theta Edge ialah Threadstone Capital dengan pegangan ekuiti sebanyak 13.56 peratus dimiliki oleh Zainal Abidin Jalil, bekas pemegang saham besar DNeX.

Manakala HeiTech Padu Berhad adalah sebuah nama yang tidak asing lagi dengan landskap ICT negara yang telah menguruskan pelbagai infrastruktur ICT kerajaan.

Berdasarkan rekod prestasi lepas, HeiTech mempunyai pengetahuan yang diperlukan untuk melaksanakan projek kerajaan.

Melihat kepada tiga nama akhir ini, adalah penting untuk mengingatkan mana-mana pihak yang akan dianugerahkan Projek NIISe ini untuk tidak mengulangi kegagalan yang sama.

Kita pernah gagal dua kali sebelum ini dan semestinya pisang juga tidak ingin berbuah dua kali.

Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya memikirkan dan membuat pertimbangan siapa lebih layak dan terbaik membawa NIISe dengan sukses.

Syarikat yang mengendalikan projek mega seperti NIISe mesti mempunyai keupayaan, sumber, pengalaman dan sokongan kewangan. Syarikat yang menang mesti mempunyai rekod prestasi dalam menguruskan projek keselamatan misi kritikal yang melibatkan kedaulatan negara. Ia tidak boleh mampu untuk gagal.

Berdasarkan rekod sebelum ini, rakyat sendiri telah melihat bagaimana projek-projek mega kerajaan telah dianugerahkan kepada kroni atau ahli politik yang tidak tahu apa-apa tentang perniagaan.

Siapa lebih layak? Kerajaan perlu bijak!

BBerkaitan

Latest articles