PUTRAJAYA – Tahukah anda, Projek Mobile Phone Data (MPD) yang dilaksanakan oleh kerajaan bukan bertujuan untuk menjejak individu, sebaliknya sebagai langkah memperkukuh perancangan perkhidmatan awam.
Menurut MCMC, data yang dikumpul adalah bersifat anonim dan tidak mengandungi maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon, atau nombor kad pengenalan. Sebaliknya, ia hanya merangkumi data pergerakan umum yang dikumpulkan melalui hubungan telefon bimbit dengan menara telekomunikasi.
“Inisiatif ini penting untuk membantu kerajaan merancang penambahbaikan jalan raya, sistem pengangkutan awam, kawasan pelancongan serta respons semasa bencana berdasarkan trend pergerakan rakyat,” kata MCMC dalam kenyataan baru-baru ini.
Sebagai contoh, jika terdapat peningkatan pengguna yang bergerak dari Rawang ke Kuala Lumpur setiap pagi, data tersebut boleh digunakan untuk merancang penambahan laluan bas ekspres atau menaik taraf jalan utama.
MPD turut mematuhi garis panduan keselamatan dan privasi antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Telekomunikasi Dunia (ITU), GSMA dan Dasar Keselamatan ICT Negara. Data yang dikumpul diproses oleh syarikat telekomunikasi menggunakan skrip MCMC dan hanya diserahkan dalam bentuk agregat kepada pihak kerajaan.
Berikut adalah SOAL JAWAB – INISIATIF MOBILE PHONE DATA (MPD)
1. Apa itu Projek MPD?
Projek MPD ialah inisiatif kerajaan untuk guna data pergerakan rakyat yang telah dianonimkan (tiada maklumat peribadi) daripada telefon bimbit bagi bantu merancang perkhidmatan awam seperti jalan raya, pengangkutan awam, kawasan pelancongan, atau semasa bencana.
Contoh: Jika ramai pengguna dari Rawang ke Kuala Lumpur setiap pagi, data ini boleh bantu kerajaan tambah bas ekspres atau naik taraf jalan utama.
2. Data apa yang digunakan?
Ia guna data lokasi dari telefon bimbit bila berhubung dengan menara telekomunikasi. Tapi data ini tidak ada nama, nombor telefon atau IC. Ia dirahsiakan dan digabungkan secara umum supaya tak boleh dikesan semula kepada sesiapa.
Contoh: Sistem hanya tahu “5000 telefon bergerak dari Seremban ke Nilai”, tapi tak tahu siapa pemiliknya.
3. Adakah data peribadi saya diambil?
Tidak. MPD tidak ambil nama, nombor telefon, lokasi spesifik anda atau apa-apa maklumat peribadi. Semua data diproses secara keseluruhan dan tanpa identiti.
Contoh: Macam bancian kedai; kita tahu 80 orang datang kedai semalam, tapi tak tahu siapa mereka.
4. MPD ni menjejak orang ke?
Tidak. MPD bukan alat penjejak. Ia hanya melihat trend pergerakan umum, bukan individu.
Contoh salah faham: “Kerajaan tahu saya ke mana tiap hari.”
Fakta sebenar: “Tidak. Kerajaan hanya tahu secara statistik seperti 10,000 orang masuk Langkawi minggu lepas,”
5. Siapa boleh tengok data ini?
Hanya pegawai yang diberi kuasa di MCMC dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Ia tidak dikongsi dengan syarikat swasta atau pihak luar.
Contoh: Syarikat e-dagang, pengiklan, atau aplikasi sosial tidak boleh akses data ini.
6. Apa berlaku selepas data digunakan?
Data dipadam atau disimpan secara selamat mengikut peraturan ketat. Tiada simpanan kekal tanpa justifikasi.
Contoh: Lepas data guna untuk kaji kesesakan musim cuti sekolah, ia akan dipadam ikut garis panduan.
7. Macam mana MCMC jaga privasi data?
MCMC ikut undang-undang dan protokol keselamatan termasuk:
a) Data tanpa identiti
b) Akses terhad
c) Tiada simpanan sewenang-wenangnya
d) Audit berkala
Contoh: Sama macam sistem undi pilihan raya – jumlah dikira, tapi identiti pengundi rahsia.
8. Projek ni ikut standard siapa?
Projek ikut garis panduan dari ITU (Pertubuhan Telekomunikasi Dunia), GSMA dan Dasar Keselamatan ICT negara.
Contoh: ITU adalah badan PBB, sama seperti WHO untuk kesihatan, ITU untuk teknologi.
9. Apa peranan ITU dalam projek ni?
ITU beri bimbingan teknikal, struktur data dan semakan standard antarabangsa.
Contoh: ITU bantu pastikan sistem kita selamat dan setanding negara maju seperti Korea atau Perancis.
10. Negara lain pun buat benda yang sama ke?
Ya. Negara seperti Sepanyol, Brazil, Indonesia dan Perancis guna data telefon untuk perancangan.
Contoh: Sepanyol guna data semasa COVID-19 untuk lihat kawasan mana paling aktif dan perlu lockdown.
11. Macam mana data diproses?
Data diproses oleh syarikat telekomunikasi guna skrip MCMC. MCMC hanya terima data yang sudah dianonim dan diagregat.
Contoh: MCMC tak tengok data mentah pelanggan. Cuma terima “peta panas” pergerakan tanpa identiti.
12. Ada audit atau pemantauan tak untuk elak salah guna?
Ya. Semua proses diaudit. Data asal kekal di syarikat telko dan tak dikongsi.
Contoh: Macam CCTV, hanya pengawal yang diberi akses boleh tengok, dan ada audit siapa tengok apa.
13. Adakah keizinan pengguna diperlukan?
Tidak perlu sebab data tak kenal pasti sesiapa. Sama macam bancian atau statistik trafik jalan raya.
Contoh: Kita tak perlu izin setiap pemandu untuk kira jumlah kereta guna lebuhraya setiap hari.
14. Kenapa rakyat tahu dari media luar, bukan dari kerajaan?
Beberapa laporan media luar tidak tepat dan mengelirukan. MCMC dan syarikat telekomunikasi telah jelaskan bahawa projek ini bukan untuk jejak individu, tapi untuk perancangan pembangunan negara.
Contoh salah faham: “Kerajaan nak intip rakyat.”
Fakta sebenar: Ini macam kajian pelancong masuk Sabah – bukan tahu siapa, tapi tahu berapa ramai.