KUALA LUMPUR: Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP), sepanjang 192 kilometer dijangka siap sepenuhnya menjelang April tahun depan.
Difahamkan sehingga kini projek yang bernilai anggaran RM9.5 bilion itu telah mencapai kemajuan sebanyak 98.1 peratus.
Gemas-JB EDTP adalah projek perkhidmatan tren eletektrik yang direka untuk mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru kepada separuh iaitu 4½ jam, berbanding tujuh jam dengan tren diesel apabila disambungkan dengan landasan Padang Besar-Gemas sedia ada.
“Stesen-stesen Gemas-JB EDTP di Genuang, Segamat, Labis, Bekok, dan Paloh kini dibuka untuk kegunaan awam. Bekalan kuasa berfungsi sepenuhnya, dan kebanyakan landasan telah dielektrifikasikan. Hanya sedikit penyesuaian kecil yang tinggal, dan operasi penuh dijangka sekitar pertengahan tahun depan,” lapor Business Times, memetik sumber yang dekat dengan projek ini,
Terdahulu, The Straits Times melaporkan bahawa terdapat kelewatan tambahan pada projek Gemas-JB EDTP, yang disebabkan oleh beberapa isu di daerah Segamat, Johor.
Segamat dijangka menjadi stesen pertama daripada 11 stesen baharu yang merangkumi daerah utama di Johor, termasuk Kluang dan Kulai, sebelum berakhir di Johor Bahru.
Pada mulanya, perkhidmatan di segmen 26 kilometer dari Gemas ke Segamat dirancang untuk dilancarkan pada Julai, kemudian ditunda ke Oktober, namun masalah elektrifikasi menyebabkan jadual tersebut ditangguhkan. Menurut sumber pasaran kepada Business Times, kelewatan ini sebahagiannya disebabkan oleh ketibaan set tren elektrik (ETS3) yang lewat untuk laluan tersebut.
Malaysia menerima set ETS3 pertamanya, yang mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 312, pada bulan Jun, yang diserahkan oleh kontraktor CRRC Zhuzhou Locomotive Co., Ltd kepada Kementerian Pengangkutan dalam satu majlis di Zhuzhou, China.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa kesemua tren ETS3 dijangka dihantar menjelang 12 Ogos tahun depan. Tren-tren ini akan digunakan pada Gemas-JB EDTP dan di seluruh rangkaian Landasan Pantai Barat dari Padang Besar hingga ke Johor Bahru.
Konsortium CRCC-CREC-CCCC, sebuah kontraktor dari China yang pakar dalam projek landasan berskala besar, mengetuai pembinaan projek ini. SIPP-YTL, yang dilantik oleh konsortium tersebut, bertindak sebagai subkontraktor Malaysia. Pegawai dari SIPP-YTL tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Projek Gemas-JB EDTP adalah sebahagian daripada inisiatif pembangunan landasan berkembar elektrik di seluruh negara, yang bertujuan untuk memodenkan laluan landasan pantai barat dari tren diesel kepada tren elektrik.
Projek ini, yang bermula pada 2017, telah mengalami pelbagai kelewatan daripada tarikh asal Oktober 2021 disebabkan gangguan COVID-19 dan isu pengambilan tanah melibatkan setinggan yang enggan berpindah.
Projek ini kini dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2025.
Menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), projek ini akan meningkatkan kapasiti pengangkutan kargo rel antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan dijangka dapat menampung sekitar 3,000 penumpang harian di laluan Johor Bahru-Kuala Lumpur.