Program Rakan Strategik tingkatkan pendapatan masyarakat luar bandar – Dr Latiff Ahmad

Dua Rakan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berganding bahu melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar termasuk wanita di Langkawi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Berjaya Corporation Berhad (Berjaya) berkolaboratif dengan agensi KPLB iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk merealisasikan matlamat itu.

Dr Abd Latiff berkata, beliau berterima kasih kepada dua Rakan Strategik KPLB yang membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar tersebut.

“Banyak program KPLB ke arah mengukuh, menilai dan memastikan bakat khususnya wanita dapat diketengahkan. Di sini ada dua program CSR dan kita mahu penduduk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Sehubungan itu terima kasih kepada Berjaya dan TNB. TNB memberikan sumbangan untuk keselesaan pusat jahitan manakala Berjaya pula memberikan kelengkapan canggih berkaitan mesin jahit,” katanya pada sesi lawatan tapak projek di Pusat Kegiatan Masyarakat, Kuah di sini pada Jumaat.

Dr Abd Latiff berkata, Berjaya memberikan sumbangan 16 mesin jahit dan 2 mesin steam untuk meningkatkan pendapatan penduduk di Bengkel Jahitan Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kemas di Langkawi.“TNB telah menaiktaraf bengkel jahitan itu dan berjaya disiapkan pada Disember tahun lalu yang dijangka dapat meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar di kawasan ini,” katanya.

Tambah beliau, golongan wanita boleh menggunakan mesin jahit di PKM itu secara bergilir-gilir sambil dibimbing tenaga pengajar mahir dalam ilmu jahitan untuk menyiapkan tempahan mereka.

“Salah seorang penduduk yang menggunakan perkhidmatan di bengkel ini telah menerima tempahan 32 pasang baju. Kita dapati program ini mampu jana pendapatan mereka antara RM300 hingga RM500 sebulan.

“Saya berpuas hati kerana masyarakat luar bandar dapat meningkatkan kemahiran mereka termasuk penyediaan makanan dan kuih raya di PKM Kuah ini,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img