Prof Agus Persoal Beberapa asas integriti PAS

 

Pas dalam beberapa aspek memenuhi maksud integriti tetapi daripada tindakan politik, banyak lagi ciri-ciri asas integriti yang tidak parti itu laksanakan, kata Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyenaraikan empat ciri yang menunjukkan Pas tidak berintegriti.

Pertama, jelasnya, Pas menggunakan fahaman perkauman dan manipulasi agama yang menimbulkan keresahan masyarakat.

Parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga, katanya, berperilaku tidak seperti yang diungkapkan.

Dalam masa sama, Pas dilihat tidak konsisten antara apa yang diucap dengan perbuatan dan keempat, parti tersebut tidak menyelesaikan masalah rakyat.

“Di Kelantan misalnya, janji manifesto dalam PRU-14 banyak lagi yang belum tertunai seperti masalah air, kebersihan, pekerjaan, pembalakan, dan kemiskinan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi menerusi Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya, 12 April lalu berkata, tiada gunanya kerajaan mempunyai majoriti besar tetapi tidak berintegriti.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, Ahli Parlimen Marang tersebut berkata, Islam sebelum ini memulakan pemerintahan dengan kuasa minoriti.

Sehubungan itu, Agus membangkitkan enam persoalan sejauhmana Pas faham dengan integriti memandangkan banyak aspek nilai integriti yang tidak parti itu laksanakan.

“Apakah duduk semeja makan sambil bersembang itu politik integriti? Apakah bekerjasama sesama parti Melayu itu politik integriti?

“Apakah berada dalam satu pakatan dengan MIC dan MCA seperti sekarang ini politik integriti?Apakah menangguhkan perjuangan RUU355 itu politik integriti?

“Apakah menolak DAP itu politik integriti?” soalnya sambil menyifatkan fahaman Abdul Hadi tentang integriti sebagai “kabur dan sempit”.

“Selain bersetuju kita mesti menolak pemimpin berbohong dan kleptokrat, hujah lain Presiden Pas tentang integriti lemah dan memerlukan penelitian semula,” tegasnya.

Beliau menegaskan pentingnya integriti sebagai perjuangan menegakkan keadilan, menghapuskan kemiskinan, mengiktiraf kebebasan rakyat, dan meraikan kepelbagaian difahami memandangkan komposisi negara ini yang multi etnik.

“Paling baik sekali ialah kita memahami integriti itu sebagai “embarking on a nation building effort.”

“Setelah merenung panjang, satu sahaja coretan akhir saya: Pas perlu meningkatkan lagi nilai integritinya,” tambah Agus lagi. MD

Latest articles

Related articles

spot_img