Bahang bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) 2023 semakin menghampiri. Semestinya calon pada kali ini, harus telus dalam menterjemahkan bakti mereka di peringkat negeri.
Berasal dari Pekan Sungai Nibong, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin juga merupakan seorang peguambela dan peguamcara yang sangat aktif dalam melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat serta cemerlang dalam penglibatan bersama NGO.
Berpegang kepada prinsip khidmat masyarakat dan fokus politik anak muda, Imran dilihat sebagai seorang yang cukup berkaliber untuk terus menjadi calon pada PRN kali ini bagi memimpin rakyat khususnya DUN Sungai Panjang ke arah kemajuan yang gemilang.
“Saya hendak melihat ke hadapan ini, khususnya di kalangan anak muda dan generasi baharu supaya melihat politik ini adalah satu perkara yang positif kita tidak mahu ahli-ahli politik ini dilemparkan dengan perkara-perkara negatif dan persepsi yang tidak baik.
“Kita berkhidmat kepada masyarakat, bukan sahaja masyarakat tetapi untuk kita membina negeri dan juga negara bercakap tentang dasar, soal polisi dan juga melihat sesuatu dengan secara lebih progresif dan juga menggalas tugas dengan penuh tanggungjawab, amanah dan juga telus dalam setiap apa yang kita lakukan.”, tegas Imran dalam satu kenyataan.
Semasa pertama kali dicalonkan di DUN Sungai Panjang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Imran berjaya menewaskan calon lain dengan mendapat 10,530 manakala penentang memperoleh 8,446. Kemenangan itu dengan majoriti undi adalah sebanyak 2,084.
Penglibatannya dalam bidang politik, memegang jawatan EXCO Pemuda Barisan Nasional (BN), Pengerusi Sekretariat Profesional Muda Pemuda UMNO Selangor dan kini Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar.