PRN Selangor Bakal Saksikan Kerjasama PH-BN Lawan PN

SHAH ALAM: Satu landskap politik yang baru akan terbina di Selangor, jika Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk memenangkan calon masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri akan datang.

Pandangan itu disuarakan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim sambil berkata, ia susulan perkembangan politik di mana PH bekerjasama dengan BN untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 lalu.

“Itu kemungkinan besar, walaupun saya belum dapat sebarang arahan, tapi saya secara individu sebagai seorang senior dalam politik di Selangor, saya tengok perkembangan ini memang ke arah itu.

“Kebarangkalian itu besar dan akan wujud satu konsep atau landskap baharu di Selangor. Ia mungkin akan merangkumi satu kolisi yang lebih mantap.

“Ia juga akan merangkumi kepelbagaian Melayu, Cina dan India yang lebih lengkap, itu semua kemungkinan yang akan berlaku,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette, hari ini.

Selangor merupakan sebuah negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH) sejak Pakatan Rakyat (PR) berjaya merampas negeri itu daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008.

Reaksi Suee Lim itu sebagai mengulas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Jumaat lalu.

Pelantikan Anwar juga setelah Dewan Tertinggi BN bersama 30 ahli Parlimennya yang memenangi PRU15 bersetuju untuk menamakan Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menjunjung titah YDPA untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Ia susulan keputusan PRU15 pada 19 November lalu menyaksikan tiada satu pun blok politik memperoleh majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles