PRN Sarawak Tidak Merangkumi Undi 18 Tahun

 

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan pada 18 Disember nanti hanya melibatkan daftar pemilih pilihan raya terkini yang dikemas kini sehingga 2 November lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang telah diwartakan baru-baru ini tidak akan digunakan pada PRN tersebut.

Daftar pemilih yang dikemaskini sehingga 2 November ini telah diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-11 pada 3 Nov, selaras Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Keputusan ini berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching, dan bukannya untuk menafikan atau mengetepikan hak dan hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.

“Saya ingin memperjelaskan di sini bahawa tiada desakan dari mana-mana pihak dalam isu ini. Malah, Sarawak sememangnya sudah bersedia untuk menerima pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap isu ini janganlah dipolitikkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada semalam, 1 Disember.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu akan berkuat kuasa pada 15 Dis ini setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember.

BBerkaitan

Latest articles