PRN Sarawak: Syarikat Penerbangan Jangan Ambil Kesempatan Naikkan Harga Tiket

KUALA LUMPUR: Anak-anak Sarawak yang tinggal di luar negeri, terutama di Semenanjung Malaysia mungkin berdepan kesukaran untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya harga tiket penerbangan terlalu mahal.

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa syarikat-syarikat penerbangan di negara ini untuk menyemak semula harga tambang tiket penerbangan yang dianggap tidak masuk akal.

Untuk rekod PRN Sarawak Ke-12 akan diadalan pada 18 Disember ini.

“Saya gunakan peluang ini untuk merayu kepada syarikat penerbangan tidak kira sama ada Malaysia Airlines, Air Asia atau Malindo tolonglah kurangkan harga tambang (kapal terbang).

“Supaya mereka (syarikat penerbangan) dapat melihat kepada masalah ini. Saya merayu bukan untuk rakyat Sarawak sahaja kerana kita tahu ramai lagi orang lain yang perlu untuk berulang-alik dari Semenanjung Malaysia ke sana,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan cawangan ke-2000 kedai 99 Speedmart di Puncak Sentul, hari ini.

Menyentuh hal PRN Sarawak, Alexander berkata, PBB akan mengetengahkan antara 10 hingga 20 peratus calon muka baharu bagi mewakili parti tersebut dalam PRN Sarawak.

Ini kerana sudah menjadi tradisi bagi parti berkenaan untuk memperkenalkan muka baharu untuk menggantikan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) terdahulu pada setiap pilihan raya.

“Boleh dikatakan pada setiap pilihan raya pada masa sebelum ini kita sentiasa perkenalkan muka baharu bagi menggantikan mereka yang sudah lama dan ada juga mereka (penyandang DUN) dengan rela hati hendak mengundurkan diri.

“Kita akan bawa lingkungan 10 hingga 20 peratus muka baharu daripada keseluruhan DUN (ditandingi) PBB,” ujarnya.

PRN Sarawak yang berlangsung pada bulan depan menyaksikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pula pada 6 Disember dan pengundian awal diadakan pada 14 Disember.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini