KUCHING: Persiapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi proses pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12 Sarawak), yang akan berlangsung esok, berada dalam keadaan bersedia.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Amir Omar, berkata semua persediaan berjalan lancar dengan aset dan logistik, terutama di kawasan pedalaman sudah digerakkan.
PRN Sarawak pada esok akan membabitkan seramai 1,213,769 pengundi.
“Persediaan berjalan lancar dan semangat petugas amat baik dan kita harap pengundian esok berjalan lancar.
“Dari segi persediaan hampir selesai, cuma petugas SPR masih memperkemaskan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta proses kerana ini adalah kali pertama PRN diadakan dalam situasi pandemik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Penjumlahan Undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru di Dewan Suarah Bau, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah SPR Johor, yang juga pegawai bertugas bagi DUN Tasik Biru, Nor Nekman Jaimon.
Sementara itu, Nor Nekman berkata, persiapan proses pengundian bagi kerusi berkenaan berjalan lancar.
“Pusat pengundian dibuka seawal jam 7.30 pagi dan ditutup pada jam 5 petang, namun ada sesetengah tempat ditutup pada jam 2 petang kerana terletak jauh di pedalaman serta memiliki jumlah pengundi kurang daripada 250 orang.
“Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya keluar mengundi awal, patuh kepada SOP COVID-19 dan elakkan keluar pada saat akhir,” katanya.