SERIAN: Usaha pembangunan dan kemajuan untuk rakyat dan negeri boleh diteruskan dengan jayanya sekiranya rakyat Sarawak terus memberi mandat dan kepercayaan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 18 Disember ini.
Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata GPS nekad meneruskan usaha pembangunan, khususnya melalui dasar pasca pandemik COVID-19 yang telah digariskan sehingga 2030.
Meskipun diserang dengan fitnah dan dakwaan dari pihak bertanggungjawab, GPS menasihatkan rakyat untuk tidak mudah terpengaruh, sebaliknya melihat dan mengutamakan dasar kerajaan untuk kebaikan mereka.
“Sekarang bedok telah dibunyikan, macam-macam dah cerita, tetapi yang perlu diberi perhatian ialah dasar kerajaan untuk masa depan kita. Kerajaan negeri ada dasar pasca pandemik ke arah 2030, apa yang dikehendaki ialah kita punya mandat besar dari rakyat untuk meneruskan usaha pembangunan ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Serian, Pakej 03 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Lebih lanjut, Abang Johari menyifatkan rakyat Sarawak bertuah kerana mempunyai kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan diterajui Ismail Sabri yang membolehkan lebih banyak program untuk mereka dilaksanakan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang terus memberi perhatian kepada negeri ini, khususnya dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo walaupun pelaksanaan Fasa 2 terjejas sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
“Ini menggambarkan betapa pentingnya kerjasama erat di antara Pusat dan negeri. Dahulu Tok Nan (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem) minta kita sokong Perdana Menteri masa itu, Datuk Seri Najib Razak dan kita mendapat Pan Borneo.
“Kalau ini terus berlaku di antara Perdana Menteri sekarang dengan kerajaan negeri, Fasa 2 yang terjejas akan dapat dilaksnakan kerana niat kita adalah untuk membangunkan Sarawak,” katanya.