PRN Sabah: Tiada Kluster Baru Jika Semua Patuh SOP

Kesemua pihak, sama ada parti politik, calon-calon dan para pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dinasihatkan untuk patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, berlangsung kelak.

Pemangku Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom seterusnya berkata, tidak timbul kluster baru sepanjang pilihan raya berkenaan jika semua pihak bekerjasama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Saya yakin kalau semua pegawai (SPR) tahu tugasnya dan orang ramai pun boleh bantu dengan kerjasama, kita boleh adakan pilihan raya dengan mana sahaja tanpa kluster pilihan raya,” katanya selepas menghadiri bengkel libat urus pindaan akta kesalahan pilihan raya bersama parti-parti politik, hari ini.

Ketika ditemui Azmi memaklumkan ada satu lagi mesyuarat khas akan diadakan pihaknya untuk menetapkan tarikh PRN Sabah.

“(Mesyuarat) itu juga saya boleh kata akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi,” katanya lagi.

Azmi dalam masa yang sama memberitahu SPR tidak ada masalah untuk mengendalikan pilihan raya di Sabah dengan SOP yang ditetapkan berdasarkan pengalaman di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

“Kita dah ada pengalaman di Chini dan akan ada pengalaman di (DUN) Slim, mesti yang kita risau adalah (penularan) Covid-19.

“Kita akan ikut SOP (Covid-19) yang ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kita dah amalkannya di (DUN) Chini yang akan dipakai ke (DUN) Slim dan juga di Sabah nanti,” katanya lagi.

SPR akan mengendalikan PRK Chini yang akan berlangsung pada 29 Ogos depan.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,803FollowersFollow
20,900SubscribersSubscribe

Terkini