KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh rasmi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) dengan penamaan calon ditetapkan pada 15 November, pengundian awal pada 25 November, manakala hari mengundi dijalankan pada 29 November.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata writ pilihan raya telah dikeluarkan hari ini selepas mesyuarat khas SPR yang bermula jam 10 pagi di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah.
“Mesyuarat khas ini diadakan bagi membincangkan persiapan pelaksanaan PRN Sabah selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 6 Oktober lalu,” katanya dalam sidang media.
Menurut Ramlan, SPR menerima makluman rasmi pembubaran DUN daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya, pada tarikh yang sama, sehari selepas pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
PRN17 Sabah bakal menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, melibatkan 25 kawasan Parlimen di seluruh negeri.