KOTA KINABALU: Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) berdepan saingan 11 penjuru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Bertanding mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau ditentang calon Barisan Nasional (BN),Tadzul Radim, Awang Salleh Makmud (Perikatan Nasional), Raplin Samat (Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR) dan Abdullah Otong (WARISAN).
Pandikar turut dicabar oleh calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Almudin Kaida, Lomog Rudin @ Efejus Rudin (Parti Impian Sabah atau PIS), Mohd Rizal Saiman (Bebas), Syarif Mohd Shukree Danchingan (Bebas), Tajuddin Padis (Bebas) dan penyandang kerusi itu, Datuk Fairuz Renddan, yang bertanding atas tiket Bebas selepas tidak dicalonkan GRS.
Di DUN Tempasuk pula, penyandangnya Datuk Mohd Arsad Bistari (GRS) berdepan pertandingan tujuh penjuru menentang John Samud (KDM), Dr Rimin Manun (Parti Gemilang Anak Sabah atau GAS), Azuwan Marjan @ Norjan (BN), Timuti Majitol (PIS), Mohd Khidir Lamsil (WARISAN) dan Walter Mark Mukis (STAR).
Bagi DUN Usukan, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (BN) yang juga Bendahari UMNO Sabah mempertahankan kerusi berkenaan dalam saingan enam penjuru berdepan Jaefris Muadis (PIS), Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN), Ajun Meliyon (Bebas), Datuk Japlin Akim (GRS) dan Mohd Lin Harun (STAR).
Sementara itu, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick turut mencuri perhatian di DUN Kadamaian apabila berdepan perlawanan lapan penjuru menentang Norman Simon (WARISAN), Judin Tingih (Parti Bangsa Malaysia), Daibi Mandadi (PIS), James Muyau (GRS), Davylandon Rubbin (STAR), Josley Taising (KDM) dan Priskila Akwila Sinem (Parti Kerjasama Anak Negeri atau Anak Negeri).
Pengumuman calon PRN Sabah ke-17 itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak iaitu Peter Jiton hari ini.










