PUNCAK ALAM: Barisan Nasional (BN) mengesahkan Parti MCA akan diberikan peluang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada MCA akan diumumkan semasa hari penamaan calon nanti.
“MCA kita beri calon bertanding. MIC mungkin tidak kerana jumlah pengundi India terlalu kecil, tetapi PBRS akan turut diberi ruang sebagai komponen BN,” katanya ketika ditemui pada Program PuTERA35@ Kampus UiTM, hari ini.
Menurut Zahid, BN pada PRN Sabah kali ini akan mengetengahkan lebih ramai calon profesional dan muka baharu bagi memperkukuh keyakinan rakyat.
“Calon kebanyakannya muka baharu, namun kita juga kekalkan beberapa penyandang. Fokus kita ialah membawa lebih ramai calon berprofil profesional,” jelasnya.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengesahkan menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya.
Mengikut Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah, PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 dipertandingkan dan enam lagi dilantik.