PRN Sabah Jadi Fokus Utama UMNO 2025, Ahmad Maslan Dedah Strategi Akar Umbi Menang Besar

PONTIAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka menjadi medan pertempuran terawal dan paling penting bagi UMNO tahun ini, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Berucap di Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian semalam, beliau menekankan bahawa persiapan rapi PRN Sabah perlu diberi keutamaan mutlak dalam Persidangan UMNO Bahagian 2025, berbanding PRN Melaka dan Johor yang dijangka menyusul kemudian.

“PRN Sabah adalah keutamaan kerana ia dijangka berlangsung dahulu. Kita mahu UMNO benar-benar bersedia, bukan hanya dari segi calon, tetapi dari akar umbi sehingga ke pusat,” katanya.

Ahmad Maslan, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, berkata bahawa tiga komponen utama harus dibincangkan secara serius dalam persidangan kali ini termasuk logistik kempen, gerak kerja jentera akar umbi dan pengukuhan mesej dan naratif parti

Beliau juga menggesa semua 191 bahagian UMNO di seluruh negara agar mengemukakan usul PRN sebagai agenda utama, termasuk cadangan untuk memperkasakan 22,050 cawangan UMNO yang menjadi tulang belakang kekuatan parti.

“UMNO bukan seperti parti lain yang hanya ada puluhan cabang. Kekuatan kita pada jumlah dan sistem akar umbi. Kalau cawangan kuat, bahagian jadi kuat. Dan kalau bahagian kuat, PRN kita boleh menangi,” ujarnya penuh yakin.

Dalam usaha merapatkan parti dengan rakyat, Ahmad mencadangkan agar cawangan diberi peranan lebih besar dalam mobilisasi awal jentera termasuk penganjuran program berimpak tinggi seperti anugerah pendidikan untuk anak ahli yang cemerlang dan insentif kehadiran mesyuarat seperti perlindungan insurans kumpulan.

“Kita kena tarik lebih ramai orang hadir dan rasa dekat dengan perjuangan parti. Bila cawangan hidup, rakyat nampak UMNO itu hadir di kawasan mereka,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan agar papan tanda rasmi UMNO dipasang di setiap cawangan sebagai simbol fizikal kehadiran parti di akar umbi.

“Di Pontian sahaja ada 117 papan tanda cawangan UMNO. Bila rakyat nampak papan tanda itu, mereka tahu parti ini wujud, aktif dan bersedia,” katanya.

Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos, dijangka menjadi pentas penting menyusun semula kekuatan menghadapi PRN mendatang.

BBerkaitan

Latest articles