More

    PRN Sabah: Calon BN, PN Akan Diumum Selasa Ini

    Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa gabungan itu bersama Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mengumumkan nama-nama calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Selasa ini.

    Malah beliau turut memaklumkan perkembangan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen dan sahabat di dalam BN dan PN kini mencapai 95 peratus.

    “Sebagai pembangkang di Sabah, kami dalam BN dan PN bersetuju bekerjasama untuk pertandingan satu lawan satu dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi memberi rakyat alternatif untuk Sabah yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di Labuan, malam tadi.

    Annuar turut memberitahu bahawa kesemua parti-parti di dalam gabungan BN dan PN bersetuju untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan menyokong setiap calon yang dikemukakan.

    PN, melalui aprti-parti di bawahnya dibenarkan untuk menggunakan logo parti masing-masing untuk bertanding di PRN Sabah, namun kesemua parti BN perlu menggunakan logo gabungan itu.

    “Terpulang kepada parti politik masing-masing menggunakan logo parti kerana sentimen pengundian berbeza mengikut kawasan.

    “Mereka perlu melakukan penilaian sendiri. Bagi kami, parti komponen BN akan menggunakan lambang dacing dan membenarkan parti lain yang menjadi rakan BN bertanding di bawah BN.

    “Tetapi kami difahamkan PN yang baru didaftarkan mempunyai logo sendiri dan ia digunakan oleh BERSATU dan satu atau dua parti yang menjadikan rakan PN.

    “Kami bersetuju dengan itu tetapi apa yang penting, kami berkongsi satu manifesto dan akan saling menyokong,” katanya.

    PN di Sabah merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala BN mempunyai UMNO Sabah, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini