PRN Negeri: Jentera Kerajaan Perpaduan Tetap Bekerjasama Walau UMNO Guna Lambang Dacing

KUALA NERUS: Kesemua calon UMNO yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang akan menggunakan lambang parti itu sendiri.

Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menambah parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

“Namun kita bergerak sebagai satu jentera, jentera kebersamaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, di sini hari ini.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata UMNO bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan setakat ini masih belum membincangkan secara formal mengenai perkara itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dalam masa yang sama mengumumkan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Said dilantik semula sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Katanya pelantikan semula Ahmad yang berkuat kuasa serta merta itu diharap dapat memacu pembangunan di tiga daerah di bawah pentadbiran Ketengah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

BBerkaitan

Latest articles