KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan keputusan sama ada akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) atau sebaliknya.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan menambah, kedua-dua gabungan itu sedang mewujudkan dan memperkasa keserasian dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.
Namun Menteri Dalam Negeri itu tidak menolak kemungkinan untuk membincangkan potensi kerjasama antara PH dan BN bagi tujuan demikian bergantung kepada kesesuaian serta keperluan bagi tujuan itu.
“Namun, tumpuan utama PH adalah untuk menggerakkan Kerajaan Persekutuan bagi mendepani pelbagai isu berbangkit yang membelenggu masyarakat.
“Ketika ini perbincangan belum sampai ke situ (kerjasama dengan BN bagi menghadapi enam PRN) sama ada akan wujud kerjasama, persefahaman atau gabungan politik. Itu belum kita bincangkan lagi,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Tambahnya, fokus kini adalah untuk mewujudkan keserasian Kerajaan Perpaduan, iaitu supaya kerajaan berfungsi dan dilihat kompak dan utuh.