PRN Johor: PKR, Amanah Dapat 20 Kerusi, DAP 16

JOHOR BAHRU: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu hari ini memaklumkan partinya dan PKR akan bertanding di 20 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, manakala DAP pula sebanyak 16 kerusi.

Beliau memberitahu keputusan berkenaan agihan kerusi itu telah dimuktamadkan kelmarin.

Menerusi sidang media selepas program sarapan pagi bersama pimpinan PH Johor di Permas Jaya, hari ini, Mohamad bagaimanpun berkata calon yang akan bertanding masih dalam proses akhir dimuktamad dan disahkan.

“Keputusan agihan kerusi diputuskan kelmarin dengan PKR dan AMANAH 20 kerusi manakala DAP pula 16 kerusi.

“Selepas ini, ketiga-tiga parti akan berbincang semula bagi memuktamadkan agihan dengan parti lain yang mahu bertanding bersama PH pada PRN Johor, termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Keputusan parti lain bersama PH pada PRN Johor ini akan kita muktamadkan sehari dua ini juga. PH Johor akan membuat pengumuman rasmi apabila semuanya sudah dimuktamadkan,” katanya.

Mohamad turut menjelaskan bahawa 20 kerusi PKR dan AMANAH yang akan ditandingi itu membabitkan kawasan campuran serta majoriti kaum.

“DAP pula bertanding di kawasan bandar namun ada juga kerusi di kawasan majoriti kaum,” katanya.

Sementara itu Mohamad mendakwa PH tidak pernah membincangkan keperluan gabungan bersama Perikatan Nasional (PN) seperti yang disaran beberapa pihak.

“Isu ini tidak ada dibincangkan dalam Majlis Presiden PH. Setakat ni PH akan bergerak bersama beberapa parti yang akan menyertai kita pada PRN Johor ini.

“Setakat ini tiada permohonan daripada gabungan lain termasuk PN untuk bersama PH bagi menghadapi PRN Johor,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles