PRN Johor, Melaka Cetus Kemenangan BN Pada PRU15 – Fitch Solutions

KUALA LUMPUR: Agensi penyelidikan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fitch Solutions Country Risk and Industry Research menerusi satu keputusan kajiannya meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15.

Walaupun dapatannya menyebut kemungkinan bagi penggantungan Parlimen, namun kemenangan BN itu berdasarkan prestasinya pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor.

Selain itu, BN dilihat mempunyai kelebihan kerana menjadi komponen parti yang paling lama memerintah negara ini.

“Kelebihan ini memberi manfaat kepada BN bagi melunaskan manifesto kerana mempunyai lebih banyak pengalaman mentadbir yang sebenar berbanding gabungan politik lain.

“Selain itu adalah jangkaan realistik bahawa mereka akan dapat memenuhi janji mereka sebaik sahaja dipilih pada PRU15,” kata firma penyelidikan ini.

Fitch Solutions Country Risk and Industry Research merupakan sayap kepada Fitch Solution.

Menyebut mengenai nasib Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), Fitch Solutions memaklumkan peluang kedua-dua gabungan itu adalah di bawah 25 peratus.

Dipercayai sokongan terhadap PH telah menyusut selepas menang pada Pilihan Raya Ke-14, pada 2018 dan menjadi kerajaan dalam tempoh singkat.

“Meskipun sebahagian besar janji pilihan raya PH mempunyai unjuran kesan positif yang sama kepada ekonomi seperti BN tetapi PH didakwa membuat janji pilihan raya populis sahaja seperti penghapusan bayaran tol yang pernah dibuat pada pilihan raya lepas.

“Lagipun, golongan miskin di luar bandar tidak mungkin menggunakan lebuh raya dan mendapat manfaat minimum daripada janji ini. Sebaliknya pengguna melihat janji itu sebagai beban tidak langsung kerana kerajaan akan mengeluarkan perbelanjaan tambahan sekiranya bayaran tol dimansuhkan,” ujarnya.

PN pula menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor dan ia percaya perkara yang sama akan berlaku pada PRU15.

Menurut firma itu lagi, ia menjangkakan kerajaan baharu BN akan membawa kepada campur tangan negeri yang lebih besar dalam ekonomi, termasuk pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan perluasan tindakan afirmatif berasaskan kaum.

Ia turut menjangkakan BN akan mentadbir secara relatif pragmatik dan meneruskan keterbukaan Putrajaya kepada pelaburan asing.

Ia berkata, pengenalan semula GST akan memberi petanda baik untuk tinjauan fiskal jangka sederhana negara.

BBerkaitan

Latest articles