PRN Johor ‘Makmal’ Buat PH, Keretakan Gabungan Makin Terserlah Jika Kalah

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dipercayai mempertaruh nasib kerjasama parti-parti dalam gabungan itu menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dimana jika mereka kalah ia tentunya memberi kesan terhadap pilihan raya umum akan datang.

Laporan China Pressyang memetik pemimpin PH mendakwa PRN Johor merupakan “makmal” untuk gabungan itu menentukan lambang yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Memang terdapat pertikaian dalam soal penggunaan lambang dan kami terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini buat sementara waktu.

“Walau bagaimanapun, jika kekalahan seumpama di Melaka dan Sarawak berulang di Johor, keadaan ini akan memperbesarkan perpecahan dalaman dan memberi impak kepada kami untuk menghadapi pilihan raya umum,” kata sumber.

Krisis dalaman PH juga berlaku susulan keengganan PKR untuk menggunakan lambang sendiri dan bukannya lambang gabungan itu untuk bertanding, kononnya kerana pengundi di luar bandar kurang mengenali lambang PH.

Namun tidak bagi Amanah dan DAP yang bertumpu di kawasan bandar.

Malah pendirian Amanah dan DAP menggunakan logo PH adalah selari dengan matlamat “tukar kerajaan” yang disasarkan sejak pilihan raya lalu.

“Penggunaan lambang berbeza bagaimanapun menampakkan PH kini hanya tinggal nama sahaja dan ini memberi peluang kepada lawan untuk mengkritik kami.

“Selain itu, memang sukar untuk menembusi kawasan luar bandar dan tidak perlu untuk PH bertanding menggunakan dua logo berlainan,” katanya.

Beberapa isu juga dikaitkan dengan keretakan PH sejak kebelakangan ini, termasuklah tindakan PKR yang menerima “katak politik”, yang mengundang kritikan daripada rakan-rakan sekutu gabungan berkenaan.

“Keretakan hanya akan bertambah besar sekiranya keputusan di Johor tidak memenuhi jangkaan dan harapan kami,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles