SIMPANG RENGGAM: Jentera Barisan Nasional (BN) Simpang Renggam dilihat giat mengatur gerakan dan strategi bagi menghadapi hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok.
Tinjauan The Rakyat Insight di sekitar Simpang Renggam mendapati jentera BN aktif dengan pelbagai pergerakan untuk mendapatkan maklumat terkini, selain bendera parti sudah mula dikibarkan untuk menyemarakkan kempen PRN Johor ke-15 kali ini.
BN sekali lagi mempertaruhkan bekas ADUN Layang-layang pada PRU-14, Datuk Onn Hariz sebagai calon PRN. Namun kali ini beliau akan bertanding di DUN Machap.
Sementara itu bekas Adun Layang-layang pada PRU-13 yang kini Ketua Penerangan Bahagian, Haji Mutalib Hj Rahim dijangka menghadapi tentangan Ahli Parlimen Simpang Rengam, Mazlee Malik dari PKR, dan Ahmad Shafiq Bin Othman dari Pejuang di DUN Layang-layang,
Sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) akan dibuka esok untuk menerima permohonan calon-calon yang bertanding.
Dalam pada Itu, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) di dalam satu kenyataan media menyarankan bakal calon untuk membayar deposit lebih awal dan resit dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti bayaran.
Tujuannya memastikan semua proses penamaan calon diselesaikan lebih awal dan lancar.
Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, surat kebenaran menggunakan simbol parti diwakili perlu dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.
Hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC.
Manakala penyokong-penyokong tidak dibenarkan berkumpul dan berarak.
Proses penamaan calon dan pelaksanaan pilihan raya ini dibuat berpandukan SOP Pencegahan COVID-19 yang ketat.